Imam Syafie bernama
Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin
Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib
bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW
pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.
Beliau dilahirkan di Ghuzah nama sebuah kampung yang termasuk daerah Palestin,
pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah
di Kota Makkah. Imam Syafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi
ke daerah itu demi keperluan penting. Namun di dalam perjalanan menuju Palestin
tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie masih dalam kandungan
ibunya. Setelah berumur dua tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota
Makkah.
Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah
mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian
Al-Muwatha’ telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith
Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.
Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di
hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi
mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.
Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar ke tempat Imam Malik di Madinah,
setelah itu beliau ke Irak, Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia
29 tahun beliau pergi ke Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan.
Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah diceritakan bahawa setiap
malam beliau membagi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau
gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam
untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.
Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis
istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana. Kerana beliau
termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka
ramai orang yang memfitnah beliau.
Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu sultan Harun Ar-Rasyid sedang
marah terhadap kaum Syiah, sebab golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan
kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu
keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu di mana kaum Syiah berada
mereka diburu dan dibunuh.
Suatu kali datang surat baginda Sultan dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan
kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk
pertama kali yang paling penting adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan
penangkapan telah selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya
harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap, sebab di dalam surat
tersebut bahawa Imam Syafie termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.
Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad
dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para
tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab
Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad
belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada
rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.
Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan satu persatu masuk ke
dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa kalimat, mereka
dibunuh dengan memenggal leher tahanan tersebut. Supaya darah yang keluar dari
leher yang dipotong itu tidak berserak ia dialas dengan kulit binatang yang
diberi nama dengan natha’.
Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan memohon keadilan
kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil ke hadapan baginda Sultan. Imam
Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak
kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap
Sultan. Semua para pembesar memperhatikan beliau.
“Assalamualaika,
ya Amirul Mukminin wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.”
“Wa
alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda
bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan
oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum
mendapat izin dari saya?”
Imam Syafie
menjawab: “Tidak saya ucapkan kata “Warahmatullah” kerana rahmat
Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati
baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang
bermaksud:
“Dan Allah telah berjanji kepada
orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh
bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana
Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya
Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan
Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam
ketakutan menjadi aman sentosa.”
Setelah membaca ayat di atas kemudian Imam
Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang
baginda telah menjadi khalifah, jawapan salam baginda tadi membuat hati saya
menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid
bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu
untuk menolak tuduhan atas dirimu.”
“Saya tidak
dapat menjawab pertanyaan baginda dengan baik bila saya masih dirantai begini,
jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu
baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat
lmam Syafie itu.
Setelah
rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie
duduk dengan baik kemudian membaca surah Hujarat ayat 6:
“Hai orang-orang yang beriman, jika
datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan
teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa
mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”
“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita
yang sampai kepada baginda itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini
menjaga kehormatan Islam. Dan bagindalah yang berhak memegang adab kitab Allah
kerana baginda adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita
sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana
saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah,
biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan
tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.”
Demikian jawab Imam Syafie.
Baginda
Harun ar Rasyid pun menekurkan kepalanya kemudian ia berkata kepada Imam
Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara
kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu
wahai Imam Syafie.”
Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai ulama besar, yang tidak lepas dari
berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang tak mengerti akan hakikat
kebenaran yang sesungguhnya. Hanya ketabahan dan keimanan serta pengetahuanlah
yang dapat menghadapi setiap cubaan itu sebagai suatu ujian dari Allah SWT yang
harus kita hadapi.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar